المعلومات الشخصية

نور شاكرة بنت محمد يونن
طالبة بكالوريوس في تخصص اللغة العربية
في كلية اللغات الحديثة والإتصالية
بجامعة بوترا الماليزية

Jumaat, 17 Julai 2020

Kritikan tentang drama atau filem

Assalamualaikum semua.
Semoga kita semua berada dalam rahmat Allah selalu.
Pada entri kali ini saya akan mengkritik tentang drama atau filem di Malaysia.
Filem, drama, telemovie Melayu dewasa ini sering kali memaparkan naratif mengenai cinta sesama manusia yang bukan sedikit pengaruhnya terhadap penonton namun sehingga membawa kepada perlakuan di luar ruang komposisi frem yang diwujudkan seseorang pengarah.
Jika dilihat, kebanyakan drama-drama mahu pun filem tempatan lebih tertumpu kepada tema cinta atau korporat dengan jalan ceritanya lebih kepada unsur-unsur negatif seperti curang, kehidupan sosial yang teruk, hasad dengki dan cantas-mencantas. Si miskin terjebak dengan cinta si orang kaya, sama ada akan terus dihina atau pun sebaliknya, kisah-kisah sebegini banyak dipaparkan di kaca televisyen.
Corak pemilihan ini berterusan sehingga hari ini, naskhah begini mula membanjiri stesen televisyen dalam bentuk telemovie dan drama bersiri. Antara novel yang dimaksudkan ialah seperti Rindu Awak 200%, Cinta Si Wedding Planner, Tundukkan Playboy itu, Kimchi untuk Awak dan banyak lagi.
Inilah pilihan yang diingini oleh penonton Malaysia. Dibuai-buai dengan soal cinta sesama manusia dengan tajuk yang agak merosakkan bahasa Melayu. Orang Malaysia terutama gadis-gadis Melayu memang amat suka kepada perkara berkaitan percintaan.Tambah merunsingkan jika drama sebegini ditonton oleh anak-anak kecil, ditakuti unsur-unsur negatif tersebut akan sebati dalam jiwa individu berkenaan apabila mereka meningkat dewasa. 
Saya berharap tema kerjaya dapat dijadikan pertaruhan penerbit filem akan datang. Semangat setia kawan, tidak mudah mengaku kalah, serta dapat memberi gambaran tentang cabaran serta realiti yang dialami oleh profesional di dalam bidang pekerjaan tertentu. Bagi saya, drama dengan tema sebegini mampu menjadi medium dalam mencorak pemikiran rakyat ke arah lebih positif dan bermotivasi. Ia juga dapat memberi inspirasi kepada penonton di peringkat sekolah dan universiti dalam mengejar impian dan cita-cita.

Kritikan tentang dunia hiburan

Assalamualaikum semua.
Semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Kali ini saya akan saya memberi sedikit pandangan atau kritikan tentang dunia hiburan khususnya di Malaysia.

Hiburan adalah sesuatu aktiviti dimana manusia lakukan untuk melepaskan tekanan, merehatkan minda, menghiburkan hati dan menenangkan jiwa setelah melakukan sesuatu kerja atau sesuatu perbuatan yang menyebabkan mereka tertekan. Melalui hiburan juga manusia boleh dipesongkan dan dilalaikan. Ini kerana, manusia sering mengisi masa mereka dangan hiburan-hiburan sehingga lupa akan tanggungjawab mereka dan perkara-perkara yang jauh lebih penting daripada sesuatu hiburan itu.

Dalam kehidupan seharian, kita terdedah dengan berbagai-bagai jenis hiburan yang melalaikan. Sekiranya tidak dikawal dengan baik, kita akan hanyut dan leka sehingga mengabaikan tugas dan tanggungjawab.

Gelombang Revolusi Industri 4.0 menyajikan hiburan yang sangat banyak dan melekakan. Aktiviti hiburan hari ini bukan lagi bersifat fizikal seperti dulu. Banyak hiburan boleh dicapai hanya melalui hujung jari sahaja. Ini juga cabaran yang mendepani generasi muda pada hari ini.

Penggunaan gajet seperti telefon pintar, laptop dan komputer sebagai alat yang menyalurkan hiburan berterusan sepanjang waktu. Tanpa disedari, kita telah menghabiskan begitu banyak masa dan waktu melayani kawan-kawan melalui media sosial seperti Facebook, WeChat, Telegram, Instagram, WhatApps dan lain-lain. Termasuk juga melayari YouTube, permainan dan berbagai-bagai hiburan lain.

Sedikit pesanan dari saya, kita haruslah bijak memilih dan juga bijak membezakan diantara jenis hiburan yang baik dan diredhai ataupun jenis hiburan yang tidak baik dan tidak diredhai oleh Allah S. W. T. Kita juga haruslah mengelakkan diri daripada terlibat dan terpengaruh dengan hiburan-hiburan yang melalaikan dan menyesatkan. Ini kerana, sesungguhnya hiburan yang melalaikn dan tidak mengikut hukum islam itu hanyalah membuang masa dan menjauhkan diri kita daripada Allah S. W. T. dan kita juga hendaklah berhibur dengan batasan agar tidak menyimpang dari agama Islam.



Khamis, 16 Julai 2020

Mencari 'seseorang' buat pendamping diri.

Buatmu yang bergelar lelaki,
  Tidak salah memilih 'wajah' seseorang, wajah itu abstrak cukuplah kamu tenang melihatnya.
Kelak, ia akan berkedut juga.
 Pilihlah wajah yang sentiasa dibasahi wudhuk dan tunduk kepada Pencipta kerana wanita yang taat kepada agama in shaa Allah akan taat kepadamu jua selagi tidak melanggar hukum syarak.

Buatmu yang bergelar lelaki,
 Pakaian itu perlu dinilai kerana ia tempat jatuh pandangan pertama.
Pilihlah yang berpakaian mengikut acuan al-Quran dan mendahului malu sebagai perisai.
 Bukan mudah bersentuh sana sini dengan ajnabi kerana kelak ia mungkin akan berlaku curang.

Buatmu yang bergelar wanita.
 Harta atau kewangan si jejaka perlu juga diteliti tetapi yang lebih utama, misalnya kereta mewah tetapi ke mana dia bawa.
Jika ke tempat maksiat abaikan, jika ke masjid atau untuk kebaikan itu yang perlu dinilai.

Buatmu yang bergelar wanita.
 Nilailah hubungan jejaka idaman itu dengan ibunya.
 Jika denganmu bukan main 'mengayat' tetapi dengan ibunya dibuai sepi, berkata menyakitkan hati seeloknya pertimbangkanlah.
 Takut nanti dirimu yang merana di kemudian hari.
 Layanan lelaki terhadap ibunya, begitulah nanti layanan dia kepada isterinya.


Akhir kata, usah terlalu 'mencari' hingga terlupa untuk menjadi.
Jodoh itu adalah cerminan diri.
 Baiki diri, in shaa Allah si dia juga sedang baiki diri

Lukisan hati

Lukisan hati,
Saat mulut terkunci tanpa kata,
Hati mula berbicara,
Diterjemah dengan sebuah aksara,
Untuk kau insan yang jauh di sana.

Di bawah pohon aku termenung,
Terimbau setiap kata yang engkau lontarkan,
Adakah sekadar sindiran atau satu gurauan,
Saat ini tiada yang memahami,
Hanya air mata yang menemani,
Tika ini hanya Dia yang mengerti di sebalik lukisan hati.

Kicauan burung berlagu rindu,
Seolah berbicara denganku tentang 'sesuatu',
Aku penat tentang sebuah persepsi manusia,
Yang hanya menghukum tanpa memikirkan perasaan  manusia lain,
Inginku lepas, biarkan ia berlalu.

Menyayangi bukan bererti memiliki,
Karena aku, kamu dan kita semua milik Allah yang hakiki,
Jika kenangan yang engkau layarkan,
Mana mungkin aku melupakan,
Andai berjauh diri itu bukan bererti aku pergi,
Tanpa sedar engkau perlu memahami doa itu pengikat hati,

Lukisan hati ini bukan sekadar madah tetapi ia diterjemah saat aku dan Dia tika dinihari

Rabu, 15 Julai 2020

Wanita

Assalamualaikum semua.
Semoga anda semua berada dalam lindungan Allah selalu.
Kali ini saya akan merungkaikan sedikit pendapat saya tentang wanita pada era ini.
Pada hari ini, ketika arus kemodenan menyusur di hadapan mata, terdapat sebilangan wanita yang telah terpersona dengan apa yang menghiasi mata mereka. Dengan pertambahan serangan barat untuk melemahkan umat Islam melalui media massa dan sebagainya. Kaum wanita pada hari ini telah bertindak untuk mengatasi kaum lelaki dengan mempersoalkan kuasa-kuasa yang telah ditetapkan oleh Islam kepada lelaki. Sebagai contoh mereka mempersoalkan tentang pembahagian harta pusaka, lafaz cerai, dan juga poligami. Ini adalah sebahagian dari pandangan golongan liberalism yang telah menyerap masuk ke dalam akal wanita masa kini.
Selain itu kaum wanita pula didedahkan dengan fesyen yang diciptakan oleh barat bagi menjatuhkan kehormatan wanita Muslimah. Sebagai seorang wanita yang beragama Islam mereka wajib menutupi aurat dan perhiasan mereka. Pakaian yang dipakai adalah untuk menutupi aurat dan perhiasan mereka tetapi apa yang terjadi sekarang, wanita menjadikan pakaian itu sebagai perhiasaan mereka. Oleh yang demikian, mereka tidak segan silu memakaikan pakaian yang nipis, ketat dan sebagainya. Mereka mudah meniru apa yang dicurahkan oleh musuh Islam kepada mereka. Hal ini telah diberi peringantan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Janganlah kamu menjadi orang yang tidak mempunyai pendirian dan berkata. ‘Aku ikut sahaja seperti orang-orang itu. Jika mereka baik, aku pun baik, jika mereka jahat, aku pun jadi jahat.’ Tetapi teguhkan hatimu dengan keputusan bahawa jika orang-orang melakukan kebaikan, maka aku akan mengerjakannya, dan jika orang-orang melakukan kejahatan, maka aku tidak akan mengerjakannya.”
2160 Best Muslimah images | Muslim women, Niqab, Women

Anak muda

Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih dari Pulau Mutiara,
Pemanis kata selamat datang,
Awal Bismullah pembuka bicara.

Assalamualikum semua.
Semoga dalam jagaan Allah selalu.
Kali ini saya akan menceritakan tentang anak muda.
“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.” Saidina Ali R.A
Daripada kata-kata Saidina Ali r.a. telah menunjukkan bahawa, jatuh bangunnya sesebuah negara terletak di tangan remaja masa kini kerana mereka merupakanwaris kepimpinan negara pada masa akan datang. Ironinya, remaja kini dikenali sebagai ‘Generasi Y’, semakin hari semakin tidak memahami tujuan hidup mereka sebagai manusia, malah ramai yang terjebak ke lembah gejala sosial yang tidak bermoral. Bersuka ria di kelab malam, terlibat dalam perlumbaan haram, penyalahgunaan dadah, seks rambang dan sebagainya, seolah-olah ia menjadi rutin wajib bagi mereka.
Ditambah lagi budaya Barat tidak henti- henti meluru masuk, mahu ‘membunuh’ jiwa-jiwa ‘hijau’ ini dengan racun hedonisme, sekularisme, liberalisme dan bermacam-macam lagi. Mereka diburu dari segenap arah; pemikiran, pakaian, pergaulan, hiburan dan cara hidup. Tanpa kita sedar, musuh-musuh itu sering mengintai-intai segenap ruang dan peluang untuk memesongkan pemuda pemudi Islam jauh dari landasan Islam yang sebenar.
Justeru, pemuda pemudi haruslah mempunyai jati diri yang teguh berpaksikan aqidah yang mantap, merupakan asas dan kekuatan utama ke arah tertegaknya masyarakat Islam seterusnya negara yang unggul. Di samping itu, mereka juga mampu ‘bertahan’ ketika persekitaran cuba menekan dan mempengaruhi dari segenap pelusuk dan arah supaya musuh-musuh yang cuba meracuni akal fikiran dapat ditongkah dengan sebuah benteng yang kuat, bernama iman dan takwa.
Ia merupakan kewajipan kepada seluruh umat Islam memahami tujuan dan matlamat perutusannya ke atas muka bumi ini selaku hamba kepada Allah S.W.T sekaligus merangkap khalifatullah fial-ard (khalifah Allah S.W.T di atas muka bumi).
Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang agama !

Ziarah Wadi Rum

Mega berarak indah berbalam,
Dipuput bayu ke pohon ara;
Pemanis kalam selamat malam,
Awal bismillah pembuka bicara.



Assalamualaikum semua.
Kali ini saya akan mengimbas kembali pengalaman saya ketika pergi ke Wadi Rum.

Untuk pergi ke Wadi Rum, ia mengambil masa selama 5jam lebih untuk sampai ke sana dari universiti kami. Dek kerana perjalanan yang terlalu lama, kami beberapa kali tertidur di dalam coaster.Sesampainya disana, saya merasa sangat terpesona melihat keindahan bukit-bukit, padang pasir yang kemerah-merahan.



 Dek kerana keindahan tempatnya, banyak filem yang telah dilakonkan di situ.Petang itu kami berkesempatan menaiki jeep untuk melihat keindahan Wadi Rum. Sangat seronok! Kami juga mengambil peluang untuk melihat matahari terbenam di sana.



Malam itu, kami bermalam di sebuah bilik yang hanya diperbuat daripada kain sahaja. Memang disana kita dapat rasakan kehidupan masyarakat arab Badwi yang sebenar. Dengan cuaca yang sangat sejuk di tengah padang pasir, kami pada malam itu tidak dapat tidur kerana badan kami menggeletar menahan kesejukan.

Pada malam itu, kami disajikan dengan persembahan tarian orang arab. Ya sangat menakjubkan !
Ohh ya, sebelum itu kami adakan sedikit perjumpaan dengan delegasi UPM untuk sesi luahan dari hati ke hati hehe. Kami juga ada membincangkan tentang penambahbaikkan untuk mobiliti yang akan datang. Sesi itu berlangsung lebih dari 2jam kerana setiap orang daripada kami perlu bercakap dan meluahkan perasaan masing-masing.

Keesokan harinya, kami dihidangkan sarapan pagi. Sebelum pulang, kami tidak lepas peluang untuk bergambar di sana buat kali terakhir.


Tidak lupa, kami juga bergambar sambil memegang bendera UPM dan bendera Malaysia. Diri ini berasa bangga kerana dapat menjejakkan kaki ke tempat-tempat sebegini.


Ini sahaja perkongsian saya pada kali ini.
Segala kenangan dam memori di Jordan akan ku semat di hati.