Assalamualaikum semua.
Semoga kita semua berada dalam rahmat Allah selalu.
Pada entri kali ini saya akan mengkritik tentang drama atau filem di Malaysia.
Filem, drama, telemovie Melayu dewasa ini sering kali memaparkan naratif mengenai cinta sesama manusia yang bukan sedikit pengaruhnya terhadap penonton namun sehingga membawa kepada perlakuan di luar ruang komposisi frem yang diwujudkan seseorang pengarah.
Jika dilihat, kebanyakan drama-drama mahu pun filem tempatan lebih tertumpu kepada tema cinta atau korporat dengan jalan ceritanya lebih kepada unsur-unsur negatif seperti curang, kehidupan sosial yang teruk, hasad dengki dan cantas-mencantas. Si miskin terjebak dengan cinta si orang kaya, sama ada akan terus dihina atau pun sebaliknya, kisah-kisah sebegini banyak dipaparkan di kaca televisyen.
Corak pemilihan ini berterusan sehingga hari ini, naskhah begini mula membanjiri stesen televisyen dalam bentuk telemovie dan drama bersiri. Antara novel yang dimaksudkan ialah seperti Rindu Awak 200%, Cinta Si Wedding Planner, Tundukkan Playboy itu, Kimchi untuk Awak dan banyak lagi.
Inilah pilihan yang diingini oleh penonton Malaysia. Dibuai-buai dengan soal cinta sesama manusia dengan tajuk yang agak merosakkan bahasa Melayu. Orang Malaysia terutama gadis-gadis Melayu memang amat suka kepada perkara berkaitan percintaan.Tambah merunsingkan jika drama sebegini ditonton oleh anak-anak kecil, ditakuti unsur-unsur negatif tersebut akan sebati dalam jiwa individu berkenaan apabila mereka meningkat dewasa.
Saya berharap tema kerjaya dapat dijadikan pertaruhan penerbit filem akan datang. Semangat setia kawan, tidak mudah mengaku kalah, serta dapat memberi gambaran tentang cabaran serta realiti yang dialami oleh profesional di dalam bidang pekerjaan tertentu. Bagi saya, drama dengan tema sebegini mampu menjadi medium dalam mencorak pemikiran rakyat ke arah lebih positif dan bermotivasi. Ia juga dapat memberi inspirasi kepada penonton di peringkat sekolah dan universiti dalam mengejar impian dan cita-cita.